Saturday 27 August 2011

Salam Aidilfitri Minal Aidil Wal Faizin…

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh…

Tinggal beberapa hari saja lagi untuk umat Islam menyambut Hari Kemenangan setelah berjuang dalam bulan Ramadhan. Keseronokkan dan kemeriahan suasana Hari Raya sangat dinantikan. Namun, saat dan detik-detik bahagia Ramadhan tentu dirindukan. Semoga kita berpeluang lagi mengecapi Ramadhan tahun hadapan. Insyaallah. Bagi yang nak balik kampung tu, hati-hati di jalan raya, amalkan sikap pemanduan yang berhemat dan cermat..^_^..Dan yang memang kat kampung macam saya ni, hati-hatilah di mana-mana jua anda berada. Bagi pelajar macam saya ni jugak, nak balik kampus lepas cuti raya pun kena berhati-hati. Tak kira lah juga ke mana jua destinasi anda wahai saudara, semoga Allah sentiasa melindungi kita.

 ..^_^..SEMOGA BERBAHAGIA DI HARI LEBARAN INI..^_^..

Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada keluarga, rakan taulan yang mengenali saya di alam maya ini dan umumnya kepada seluruh umat Islam.

" Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin "








Malam Lailatul Qadar..

Sumber: http://www.al-azim.com/masjid/sinopsis2.html

10 akhir Ramadhan adalah merupakan di antara malam-malam yang penuh dengan keberkatan dan kelebihan yang tertentu. Malam-malam ini adalah merupakan malam yang ditunggu-tunggu oleh seluruh orang mukmin. Bulan Ramadhan, Al Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah s.a.w. di antaranya firman Allah s.w.t.

Maksudnya: "Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran pada malam Lailatulqadar dan apakah yang menyebabkan engkau mengerti apa itu Lailatulqadar. Lailatulqadar lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan daripada Tuhan mereka untuk setiap urusan. Malam ini sejahtera hingga terbit fajar".

Sebab turun surah al-Qadr

Lailatulqadar mempunyai kelebihan yang begitu besar. Ianya lebih baik dari 1000 bulan yang lain. Sebab diturunkan ayat tersebut diriwayatkan daripada Mujahid dikatakan sebab turun ayat tersebut ialah Nabi s.a.w. telah menyebut tentang seorang lelaki daripada Bani Israel yang telah menggunakan alat senjatanya untuk berperang pada jalan Allah maka orang Islam pun kagum di atas perbuatan itu lalu Allah menurunkan ayat di atas.

Riwayat yang lain pula dari Ali bin Aurah pada satu hari Rasulullah telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikitpun tidak derhaka kepada Allah lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah bahawa Allah s.w.t. menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah Al Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat amat gembira.

Daripada ayat di atas dapatlah kita ketahui bagaimana besar kelebihan orang yang beribadah pada malam lailatulqadar. Ianya satu malam menyamai beramal 1000 bulan.


Dalam hadis Rasulullah s.a.w. menyebut...
Maksudnya: "Rasulullah bersungguh-sungguh beribadah pada 10 akhir bulan Ramadhan lebih daripada yang lainnya"

Rasulullah s.a.w. melakukan ibadah pada malam itu bukan hanya setakat baginda sahaja tetapi baginda menyuruh ahli keluarga bangun bersama beribadah. Kata Aisyah r.a.


Maksudnya: "Nabi s.a.w. apabila masuk 10 akhir bulan Ramadhan baginda mengikat kainnya. Menghidupkan malam dengan beribadah dan membangunkan keluarganya untuk sama-sama beribadah. Mengikat kainnya bermaksud bersungguh-sungguh mengerjakan ibadah."

Kelebihan Menghayati Malam Lailatulqadar

Kerana mulianya Lailatulqadar, Rasulullah s.a.w. menganjurkan supaya umatnya bersedia menyambut dan menghayati malam yang berkat itu dengan pelbagai jenis amalan dan ibadah yang diterangkan di antaranya hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a.


Maksudnya: "Barangsiapa menghayati malam Lailatulqadar dengan mengerjakan sembahyang dan berbagai jenis ibadat yang lain sedang ia beriman dan mengharapkan rahmat Allah taala nescaya ia diampunkan dosanya yang terdahulu.

Rasulullah s.a.w. sendiri menjadi contoh yang baik yang menghayati malam lailatulqadar terutama 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan dengan beriktikaf di Masjid mengerjakan pelbagai amal ibadah untuk menyambut malam Lailatulqadar yang mulia.

Ini diterangkan di dalam satu hadis diriwayatkan daripada Aishah r.a. Katanya:


Maksudnya: "Biasanya Rasulullah s.a.w. berusaha dengan bersungguh-sungguh memperbanyakan amal ibadah pada 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan berbanding dengan masa yang lain."


Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatulqadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.

Malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan. Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam Lailatulqadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah s.a.w. pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan. 


Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah s.a.w. menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadhan. 


Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan. Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatulqadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah s.w.t. supaya setiap umat Islam menghayati 10 malam yang akhir daripada Ramadhan dengan amal ibadat. Kerana dengan cara itulah sahaja mudah-mudahan akan dapat menemuinya dan dapat pula rahmat yang diharapkan yang akan menjadikan seseorang itu hidup bahagia di dunia mahupun di akhirat.

Doa khusus di Malam Lailatulqadar

Doa tersebut diterangkan di dalam hadis berikut:
>> Hadis yang diriwayatkan daripada Aishah r.a.


Maksudnya: "Saya pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. bagimana kiranya saya mengetahui malam Lailatulqadar dengan tepat. Apa yang saya akan doakan pada saat itu. Baginda menjawab berdoalah dengan doa yang berikut:

Maksudnya: "Ya Allah ya Tuhanku sesungguhnya engkau sentiasa memaafkan salah silap hamba lagi suka memaafkan oleh itu maafkanlah salah silapku. Terdapat juga beberapa doa yang disarankan oleh para alim ulamak kita melakukannya seperti membaca doa.

Orang yang beribadah pada 10 malam yang tersebut akan mendapat rahmat yang dijanjikan dan telah sabit di dalam hadis-hadis yang sahih bahawa malam Lailatulqadar wujud pada salah satu malam yang 10 itu terutama pada malam 21, 23, 25, 27 dan 29. Orang-orang yang tekun beribadah di dalam masa tersebut untuk menemui malam Lailatulqadar akan mendapat rahmat yang dijanjikan itu samada ia dapat menemui atau tidak dan tidak melihat apa-apa kerana yang penting yang tersebut di dalam hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim ialah:

1. Menghayati malam tersebut dengan beribadah.
2. Beriman dengan yakin bahawa malam Lailatulqadar itu adalah benar
    dan dituntut menghayatinya dengan amal ibadah.
3. Amal ibadah itu dikerjakan kerana Allah semata-mata dengan mengharapkan 
    rahmatnya dan keredaannya.

Adalah diharapkan sebelum daripada kita beramal ibadat di malam Lailatulqadar hendaklah kita bertaubat dengan sebenar-benarnya iaitu taubat nasuha dan terus beristiqamah tetap teguh mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala larangannya.

Tanda Malam Lailatulqadar

Para alim ulamak r.h. menyebutkan beberapa tanda atau alamat berhubung dengan malam Lailatulqadar:
- Ada yang berkata orang yang menemui malam Lailatulqadar ia melihat nur
  yang terang benderang disegenap tempat hingga di segala ceruk 
  yang gelap gelita.
- Ada pula yang berkata ia mendengar ucapan salam dan kata-kata yang
  lain dari Malaikat. 
- Ada juga yang berkata ia melihat segala benda termasuk pohon-pohon
  kayu rebah sujud.
- Ada pula yang berkata doa permohonannya makbul.


Imam Tabari r.h. memilih kaul yang menegaskan bahawa semuanya itu tidak lazim dan tidak semestinya ia dapat melihatnya kerana tidak disyaratkan melihat sesuatu atau mendengarnya untuk menemui malam Lailatulqadar.


La Tahzan : Jangan bersedih…..

..Assalamualaikum..

Saya ingin membuat sedikit catatan yang pastinya berguna buat diri ini dan mudah-mudahan buat pembaca juga. Coretan ini dipetik daripada sebuah buku yang berjudul “Jangan bersedih, Jadilah Wanita Yang Paling Bahagia” sebuah terjemahan karya Dr.’Aidh bin ‘Abdullah Al-Qarni yang asal, berjudul “As’ad Al-Mar’ah Al-‘Alam. Terjemahan ini adalah karya terbitan Al-Hidayah Publications. Untuk lelaki dan juga wanita, semoga beroleh walau sedikit rasa ketenangan. Jadi, La Tahzan..



Ada dua tajuk kata-kata@cerita mutiara yang ingin saya catatkan..

Pertama...(Daripada Bab Nilam Ke-8, ms:250)
KADANGKALA ALLAH MENGEMBALIKAN SESUATU YANG HILANG

Ya Tuhanku, mula-mula perkara yang dikatakan oleh hati kecilku adalah: “Aku selalu ingat kepadaMu baik dalam batinku mahupun dalam zahirku”.

Ceritanya : Setelah berpisah selama lebih dari dua puluh tahun, Allah mempertemukan antara seorang ibu dan anaknya yang berumur dua puluh lima tahun, setelah dipisahkan oleh liku-liku kehidupan. Perkara itu terjadi pada saat puterinya menikmati bulan madunya di sebuah tempat peranginan di gunung Saudah di kota Abha, Arab Saudi.

Disebutkan bahawa ibunya telah bernikah lagi setelah bercerai dari suami pertamanya yang ketika itu usia anak perempuannya itu baru tiga tahun. Keadaan kerja suami keduanya yang selalu berpindah-pindah dari suatu kota ke kota yang lain menghalangi sang ibu untuk menjenguk puteri yang ditinggalkannya dalam jagaan suami pertamanya.

Pada suatu hari yang indah di musim panas di gunung Saudah, sang puteri bertemu dengan salah seorang ibu di tempat peranginan. Mereka berbincang-bincang dan keduanya tidak saling mengenali antara satu sama lain, kerana sang ibu meninggalkan puterinya ketika masih berumur tiga tahun.

Semasa perbincangan, sang ibu melihat salah satu jari puterinya yang terpotong, kemudian sang ibu bertanya tentang ibunya. Sang puteri pun menceritakannya. Seketika itu sang ibu menyedari pertemuan dengan puterinya setelah berpisah selama dua puluh tahun lebih. Sang ibu terus memeluknya dan mencium wajahnya dengan kasih-sayang dan cinta yang mendalam. Kerinduan yang dipendam begitu lama pecah seketika.

Bekalan: Memikirkan kebahagiaan bererti memikirkan apa yang terjadi sebelumnya dan apa yang akan terjadi nanti. Dan sampai batas tertentu, berfikir terlalu jauh itu boleh mengusik kebahagiaan itu sendiri.

Kedua...(Daripada Bab Nilam Ke-9, ms:252)
KATA-KATA YANG MELIPUTI WAKTU DAN TEMPAT

Wahai Tuhan tempat mengadu orang yang dilanda kesedihan dan kecemasan Engkaulah yang mempersiapkan segala sesuatu yang akan terjadi.

“Musa A.S. berkata: “Ya Tuhanku, ajarilah daku suatu doa agar aku dapat berdoa dan bermunajat kepadaMu.” Allah berfirman: “Hai Musa, katakanlah “Laa Ilaha Illallah” (Tiada Tuhan yang berhak disembah, selain Allah). Musa berkata: “Semua orang mengucapkan Laa Ilaha Illallah.” Allah berfirman: “Hai Musa, seandainya tujuh lapis langit dan tujuh lapis bumi dalam suatu sisi timbangan, sedang sisi yang lain terdapat kalimah Laa Ilaha Illallah, nescaya yang ada kalimah Laa Illaha Illallah akan lebih berat.”

Kalimah “Laa Ilaha Illallah” ini memiliki sinar yang berkilau yang dapat mengusir kabus dan awan dosa sesuai dengan kekuatan dan kelemahan sinarnya. Ia mempunyai cahaya yang berbeza-beza kekuatannya sesuai dengan kekuatan dan kelemahan hati pelakunya. Tiada yang dapat menghinggakannya, selain hanya Allah S.W.T..

Sebahagian manusia mempunyai cahaya kalimah ini di hatinya bagaikan matahari. Sebahagian manusia yang lain mempunyai cahaya kalimah ini di hatinya bagaikan bintang. Sebahagian manusia mempunyai cahaya kalimah ini bagaikan pelita yang terang. Dan ada pula yang cahayanya laksana lilin yang berkedip-kedip.

Setiap kali bertambah besar dan bertambah kuat cahaya kalimah ini dalam qalbu seseorang, maka semakin membakarlah ia terhadap semua keraguan dan nafsu syahwat yang terdapat dalam diri seseorang.

Bekalan: Kebahagiaan orang yang beriman adalah dengan mencintai Allah. Cinta kepada Allah adalah kebahagiaan yang dasarnya lebih dalam dari setiap sesuatu yang dalam. Hanya mereka yang sungguh-sungguh berimanlah yang dapat merasakannya. Dan, perasaan itu tidak boleh digantikan.