Pepatah arab ada menyebut semua orang
mengaku kekasih Laila tetapi Laila sendiri tidak mengakuinya. Ramai orang kerap
kali terjatuh dalam perangkap cinta dan terpalit dengan noda dan fitnahnya
apabila Si Dia, baik lelaki mahupun perempuan mengungkapkan kata-kata hikmat
yang berbunyi “Aku cintakan diri-Mu kerana Allah !”
Aduh ! Perkataan yang indah tetapi
kerap disalah guna.
Jika kaca yang dipegang maka akan pecah
kerana jatuh terhempas, jika kita sedang berdiri akan segera ingin mencari
tempat duduk dan jika kita tengah duduk akan segera mahu berdiri dan mencari
udara segar guna memaksa oksigen masuk ke dalam tubuh kerana sesak dan berat di
dada sehingga menyukarkan pernafasan. Jantung berdegup laju dan tangan
menjadi sejuk.
Itulah tanda-tanda awal virus cinta
sudah mula berjangkit dan sedang menular ke dalam badan dan hanya akan dapat
dilegakan dengan berdekatan dengan orang yang dicintai.
Lalu apa yang harus dilakukan ? Pasrah
dan menerima cinta kerana ianya adalah kerana Allah seperti yang diucapkan atau
berhenti dahulu dan meneliti ucapan tersebut benarkah ia cinta dari Allah atau
merupakan salah satu dari jerangkap samar syaitan ?
Firman Allah SWT : “Wahai
orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu
berita, maka periksalah (kebenarannya) dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan
suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan
kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (Al-Hujurat: 6)
Dalam Islam, kita disuruh memeriksa dan
menilai apakah benar setiap sesuatu ucapan atau khabar yang disampaikan sebelum
mengambil tindakan atau membuat keputusan. Hal ini disebut sebagai konsep
“tabayun” atau bermaksud mencari penjelasan atau keterangan.
Hal ini amatlah penting agar kita tidak
ditipu atau terjebak dengan perangkap Iblis yang sedang menanti di hujung jalan
untuk memancing kita ke dalam neraka bersama-sama dengannya. Sebelum membuat
keputusan apakah akan diserahkan tubuh badan, hati dan perasaan maka lebih
baiklah dilakukan usaha memeriksa dan menyemak terlebih dahulu benarkah kalimah
itu diucapkan iaitu:
Aku cinta kepada Mu kerana Allah SWT !
Cinta kerana Allah SWT itu mempunyai
satu kedudukan yang istimewa kerana di dalam hadis Abu Hurairah ra menyebut
katanya Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda : “Sesungguhnya Allah
Ta’ala berfirman pada hari kiamat: “Manakah orang-orang yang saling
cinta-mencintai kerana keagunganKu? Pada hari ini mereka akan Aku beri naungan
pada hari yang tiada naungan melainkan naunganKu.” (Riwayat Muslim)
Di dalam sebuah hadis yang lain, nabi
salallahualaihiwassalam juga pernah bersabda : “Jika seseorang dari kamu
mencintai saudaranya maka hendaklah dia memberitahunya.” (riwayat Abu Daud,
Tirmidzi dan Ahmad serta Bukhari di dalam tarikhnya dengan makna yang
sepertinya)
Kita juga disunnahkan untuk membalas
ucapan cinta itu dengan doa yang berbunyi :
أحبك الله الذي أحببتني فيه
Maksudnya : “Semoga Allah mencintai kamu yang telah mencintaiku keranaNya.” (riwayat Abu Daud)
Hadis-hadis berkenaan cinta ini begitu
banyak sebab Islam ialah agama yang menitik-beratkan persoalan kasih sayang dan
kehormonian sesama Insan. Namun kita masih perlu menilai dan meneliti apakah
cinta yang dihulurkan itu benar-benar madu dan rezeki daripada Allah SWT atau
sebenarnya ialah racun dan umpan dari syaitan.
Bukti Cinta kerana Allah
Ada 5 bukti penting dan tanda utama
yang dapat dikenal pada seseorang yang benar-benar mencintai kita kerana Allah
SWT. Ini dapat dilihat dari hasil taddabur kita kepada ayat-ayat Al-Quran dan
melalui penilaian kepada hadis-hadis nabawiyah.
Pertama
:
1.
DIA adalah seorang yang amat mencintai Allah
Adalah mustahil seseorang itu berkata
dia mencintai kita kerana Allah SWT tetapi dalam masa yang sama dia amat jauh
dari jalan Allah dan seringkali melakukan dosa dan maksiat kepada Allah SWT.
Cinta itu dibuktikan dengan perbuatan maka
lelaki dan wanita yang mengatakan kepada anda bahawa dia mencintai kerana Allah
juga akan membenci kerana Allah SWT dan membenci segala apa yang dimurkai oleh
Allah SWT dari segala jenis dosa dan maksiat.
Nabi salallahualaihiwassalam bersabda :
“Tiga perkara yang jika terdapat pada seseorang maka dia pasti akan merasai
kemanisan Iman. Iaitu Dia mencintai Allah dan rasul-Nya lebih dari selainnya.
Dia mencintai atau membenci sesuatu hanya kerana Allah dan dia amat membenci
untuk kembali kepada kekufuran seperti dia tidak suka dicampakkan ke dalam
api.” (hadis riwayat Bukhari)
Lihatlah pada diri lelaki yang
mencintai anda kerana Allah itu apakah dia seorang yang teguh agamanya, kukuh
aqidahnya, penyabar, kuat tawakkal, selalu mencintai anak yatim dan membela
yang lemah atau dia sebenarnya seorang yang hanya pandai berborak sahaja.
Lelaki yang soleh pasti akan kelihatan
di masjid dan ketika ada orang yang berada dalam kesusahan maka disitulah dia
akan dapat ditemukan.
Perkara yang sama terjadi kepada kepada
lelaki yang benar-benar mahu mengenali para wanita muslimah solehah itu. Ianya
tidak hanya dengan sekadar ucapan di bibir atau pada teks sms dan copy paste di
blog dan Fb si gadis.
Lihatlah auratnya apakah ditutup, lihatlah
peribadinya apakah terpelihara dan dijaga kemudian lihatlah pemikirannya apakah
dia seorang Muslimah yang hidup untuk dirinya atau dia hidup untuk Allah SWT.
Caranya tidak susah. Mana-mana muslimah
yang hidup untuk Allah akan sanggup menerima poligami dan menghormati hak-hak
lelaki yang Allah berikan kepada mereka . Si DIA akan tunduk serta patuh kepada
hukum Allah dan lebih banyak bertolak ansur serta berusaha memahaminya dari
berusaha mempertikaikannya.
Jangan terleka dan tergoda oleh rupa
dan pakaian kerana syaitan itu amat bijak dengan tipudaya dan jalan-jalan
kesesatan.
Kedua
:
2. Cinta kerana Allah terbit dari sebab
ketaatan
Pasti ada sebab si DIA cintakan kita
kerana Allah dan apakah sebab-sebab itu adalah terhasil dari kerana ketaatan
kita kepada Allah SWT atau kerana kemaksiatan kita kepada-Nya ?
Jika cinta yang diungkapkan itu adalah
kerana ketaatan kita kepada Allah SWt maka ianya adalah jenis dari bahagian
cinta-cinta yang suci dan datang atas kerana rahmat daripada Allah SWT kepada
hamba-hambaNya.
Ada wanita jatuh cinta kerana si lelaki
itu kuat berdakwah dan menjadi Imam sukarela secara percuma. Ada lelaki
terjatuh hati kerana melihat si wanita itu tegas dan teguh mempertahankan
maruah dan auratnya dari dicabuli. Maka jenis-jenis cinta seperti itu memenuhi
kehendak cinta yang dilakukan kerana Allah SWT.
Tanyakan
SI DIA kerana apakah kamu mencintai saya ?
Jika jawapannya memenuhi jenis cinta
yang berdasar dari ketaatan kepada Allah SWT maka ianya adalah dari Allah dan
jika ianya berdasarkan dari sebab-sebab kejahatan dan kemaksiatan maka ianya
dari syaitan.
Ini dapat diketahui dengan mudah jika
kita sendiri menyedari akan kesalahan yang telah kita lakukan. Misalnya jika
wanita itu tidak menjaga auratnya, tidak memelihara dirinya dari fitnah seperti
tampil di khalayak ramai dalam rancangan TV menjadi wanita pilihan dengan
bertabarruj dan “berposing kiri dan kanan” memaparkan kecantikan maka jika
datang lelaki menghulurkan cinta kerana tertarik dan jatuh hati atas kecantikan
itu maka ianya bukanlah dari ketaatan bahkan kemaksiatan dan berpunca dari
kedegilan kita dalam mentaati syariat Allah SWT.
Wanita yang solehah tidak akan
mendedahkan kecantikannya seperti lelaki yang bertaqwa tidak akan murah
menampilkan kebaikan dirinya atau menunjuk-nunjuk kewarakan dan kesolehannya.
Tanyalah diri anda, apakah dosa atau
ketaatan yang telah dilakukan sehingga melayakkan diri ini menerima ungkapan
AKU CINTA DIRMU KERANA ALLAH !
Ketiga
:
3. Mencintainya kembali menambah
kebaikan dan kemuliaan serta mendekatkan kita kepada Allah
Orang-orang yang benar dalam cintaNya
kepada Allah mereka ini mempunyai kelebihan dan merupakan orang-orang yang
benar-benar beriman. Mencintai mereka itu nescaya akan memberikan kebaikan dan
menambahkan kemuliaan serta menambahkan kedekatan kita dengan tuhan.
Ini disebabkan di dalam sebuah hadis
dari jalan Abu Hurairah ra yang menyebutkan bahawa Nabi Salallahualaihiwassalam
pernah bersabda : “Jikalau Allah Ta’ala itu mencintai seseorang hamba, maka
Dia pun memanggil Jibril lalu memberitahu bahawa Allah mencintai si Fulan, maka
cintailah olehmu (Wahai Jibril) si Fulan itu. Jibril pun lalu mencintainya,
kemudian Jibril menyeru kepada seluruh penghuni langit seraya memberitahu
bahawa Allah mencintai si Fulan, maka cintailah olehmu semua (Wahai
penghuni-penghuni langit) si Fulan itu. Maka para penghuni langit pun kemudian
mencintainya. Setelah itu dijadikan seluruh penghuni bumi pun ikut menerimanya
(mencintainya).” (hadis Muttafaq alaih)
Lihat dan perhatikanlah apakah di wajah
orang yang mengatakan Aku cinta pada-Mu kerana Allah itu membuatkan anda
teringat kepada ajaran Islam, kepatuhan kepada Allah SWT, kedahsyatan hari
akhirat serta dosa dan pahala atau sebaliknya hanya mengundang kepada ingatan
nafsu syahwat dan pelukan serta dakapan di atas tilam.
Cinta yang suci tidak akan mampu
dibakar oleh api sebaliknya ia hanya akan memadamkan api demikianlah cinta yang
sejati tidak akan datang kerana syahwat tetapi ianya pasti akan mampu memenuhi
keperluannya.
Ke-empat:
4.
Cinta dan hubungan dengan Si DIA jauh dan terpelihara dari kelalaian dan dosa
Diantara ciri-ciri yang mustahak di
dalam penilaian kebaikan seseorang ialah ianya tidak mengundang bahaya atau
kemudharatan. Daripada Abu Said Al-Khudri ra bahawa rasulullah SAW pernah
bersabda : “Tidak boleh melakukan kemudharatan dan tidak pula boleh mengundang
kemudharatan (melalui perbuatan yang dilakukan).” (hadis riwayat
Daruquthni, Al-Hakim dan Baihaqi)
Ini kerana tipu daya dan muslihat
syaitan itu amat licik. Terkadang dia sengaja memalsukan kejahatan itu agar
dilihat sebagai kebaikan atau kemuliaan.
Syaitan itu sendiri tahu untuk mengoda
orang yang soleh itu tidak harus dengan maksiat dan kejahatan tetapi digoda
dengan kebaikan dan kezuhudan agar si soleh itu menjadi sesat kerana riya’ atau
ujub (kagum)dan ghurur (tertipu) dengan dirinya sendiri.
Mujahid bin Abi Mu'ammar meriwayatkan
bahawa suatu hari pernah ada seseorang yang memuji seorang pemimpin. Kemudian
Miqdad ibnul-Aswad pun menaburkan tanah ke mukanya, lalu berkata:"Rasulullah
memerintahkan kami untuk menaburkan tanah kemuka orang yang suka memuji." (riwayat
Muslim)
Imam Ibn Jauzi al-baghdadi dalam
kitabnya Talbis Al-Iblis ada menyebutkan mengenai cara Iblis membelit ahli
ibadah dan menjadikan mereka jauh daripada Allah melalui menampakkan kebaikan
dan kelebihan diri mereka sehingga menjadi ujub dan kagum atau ibadah mereka
lalu menjadi lalai kepada Allah dalam keadaan mereka menyangka bahawa mereka
itu sedang beribadah.
Sabda
rasulullah salallahualaihiwassalam : "Kamu tidak akan selamat
hanya oleh amalanmu sahaja." (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Apabila anda berhadapan dengan lelaki
atau wanita yang mengucapkan kata-kata cinta yang suci menggunakan nama Allah
SWT maka lihatlah apakah ianya membawa fitnah dan kelalaian atau memberikan
manfaat kebaikan dan menjauhkan diri dari dosa.
Ramai orang terkena belitan syaitan
apabila terpedaya kononnya bercinta kerana Allah SWT namun apabila sudah
ber“couple” dan bercinta semua larangan Allah dilanggarnya.
Bertudung labuh dan berkopiah tetapi
berdua-duaan ditempat yang tidak diredhai Allah kerana cinta dan perasaan
akhirnya syariat Allah menjadi gadaian.
Ada orang yang baik, lelaki muslim dan
wanita yang muslimah pada asalnya mahu bercinta kerana Allah tetapi
dipertengahan jalan mereka ditipu oleh syaitan. Akhirnya kerana sudah pun
terlanjur berpegangan tangan, bercium dan melakukan maksiat ringan
masing-masing berpendapat kita sudah tiada jalan kembali kecuali terus terjebak
dalam hubungan haram ini.
Allah itu maha pengasih dan pengampun,
setiap kali terlanjur dan tersilap dalam perjalanan maka segeralah lakukan
U-TURN sementara nyawa masih dikandung badan. Pintu taubat sentiasa terbuka dan
segeralah rayu dan memohon keampunan daripada-Nya.
Janganlah terpedaya oleh syaitan yang
sentiasa merayu peluang kedua dari manusia agar sekali lagi melakukan dosa.
Sekali lagi sahaja, Cuma sekali lagi katanya yang merayu supaya terus melakukan
dosa lalu terperangkap di dalamnya.
Kelima
:
5.
SI DIA tidak mengharapkan balasan kecuali dari Allah
Cinta yang suci itu ialah cinta yang
hanya tahu memberi tetapi tidak mengharapkan apa-apa sebagai balasan. Mereka
ini seperti yang disebutkan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran yang bermaksud : “Sesungguhnya
kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keredhaan Allah, kami
tidak menghendaki balasan dari kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih.”
(Al-Insan : 9)
Jika benar si DIA mencintai Mu kerana
Allah maka bergembiralah kerana kalian benar-benar mahukan syurga dan tidak
kisah dengan siapa berakhirnya hubungan ini. Apakah dia menjadi milikmu atau
kamu menjadi miliknya hal itu bukanlah isunya tetapi apakah Si DIA dan kamu
masing-masing beroleh kasih sayang dan keampunan dari Yang Maha Esa.
Sabda nabi salallahualaihiwassalam : “
Barangsiapa yang mencintai kerana Allah dan membenci kerana Allah serta memberi
kerana Allah atau menghalang kerana Allah maka telah sempurnalah Imannya.”
(hadis riwayat Abu Daud dan disahihkan oleh Syeikh Albani)
Lelaki dan wanita yang saling mencintai
kerana Allah SWT lebih takutkan Allah dan lebih mencintai Allah dari diri
mereka sendiri dan secara pastinya mereka mencintai satu sama lain hanya
semata-mata kerana hubungan masing-masing dengan Allah SWT.
Lelaki yang beriman dan benar-benar
mengasihi seorang gadis kerana Allah akan sentiasa mahu wanita itu terpelihara
dari dosa dan mahukan kebaikan serta rahmat Allah SWT ke atasnya.
Jika dia mahu mengahwini gadis itu maka
hasratnya itu adalah kerana mahu melindunginya, mahu mengasihi dan memanfaatkannya
di jalan Allah SWT. Adapun jika ada lelaki lain yang terlebih dahulu hadir
dalam kehidupan wanita itu maka dia akan sentiasa mendoakannya dan mengharapkan
kebaikan di antara kedua-duanya.
Hatinya Ikhlas dan hanya mengharapkan
balasan dari Allah SWT.
Nabi Salallahualaihiwassalam bersabda
:“Doa seorang muslim kepada saudaranya di belakang pengetahuan saudaranya pasti
dimakbulkan. Di atas kepalanya akan ada malaikat yang menjaganya dan setiap
kali dia berdoa untuk kebaikan kepada saudaranya itu maka malaikat pun ikut
berkata “Amin” dan mendoakan supaya baginya juga mendapat serupa apa yang telah
didoakan kepada saudaranya.” (riwayat Muslim)
Inilah sifat orang yang beriman dan
menjadikan Allah sebagai matlamat dan tujuan. Mereka tidaklah menjadikan cinta
kepada wanita, lelaki, teman dan kekasih mereka itu sebagai sekutu atau saingan
dan tandingan kepada Allah SWT bahkan sebaliknya ia menjadi baja dan air yang
menyuburkan keimanan mereka serta sokongan kepada ketaqwaan mereka.
Firman Allah yang bermaksud : “Dan
(aku telah diperintah): "Hadapkanlah mukamu kepada agama dengan tulus dan
ikhlas dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang musyrik.” (Yunus
: 105)
Mereka inilah yang termasuk dalam hadis
nabi yang bermaksud : “ Manusia yang paling bahagia di hari akhirat dengan
syafaatku kelak ialah yang berkata “Lailahaillallah” Ikhlas daripada hati dan
dirinya.” (hadis sahih riwayat Bukhari)
Syaitan tidak mampu menggoda mereka
bahkan oleh wanita yang paling cantik jelita atau oleh lelaki yang paling kacak
dan tampan sekalipun. Takala dikatakan oleh Syaitan tidak takutkan kamu jika
jarang bertemu atau bersms dengan kekasihmu itu nanti dia akan mencari atau
dipikat oleh lelaki lain ?
Orang ini akan berkata :
“Alhamdulillah, daripada Allah kita datang dan kepada Allah-lah kita akan
kembali. Jika benar begitu maka saya akan mempermudahkan urusannya, membantunya
agar dapat menikahi gadis yang ku sayangi ini jika benar lelaki yang lain itu
adalah yang terbaik untuknya.”
Sesungguhnya saya mencintainya hanya
kerana ALLAH !
--------------------------------------------------------------------------------
-Mohon disebarkan artikel ini jua
kerana Allah !
Sumber: http://ustaz.blogspot.com/2011/11/5-bukti-si-dia-cintakan-kita-kerana.html
No comments:
Post a Comment